PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mengambil pelbagai pendekatan bagi memastikan kelancaran dan kelangsungan rantaian bekalan makanan di negara ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia termasuklah mengurus isu lambakan, antaranya melalui pelaksanaan Pasar Segar Terkawal (PST) di lokasi-lokasi terpilih.
Katanya, secara keseluruhan, sebanyak 42 buah PST beroperasi setakat ini di seluruh negara dan di Negeri Sembilan pula terdapat empat lokasi.
“Lokasi berkenaan ialah Pasar Tani Kekal Paroi, Pasar Tani Kekal Bandar Seri Jempol, Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Seremban dan Agrobazaar Sendayan.
“PST ini akan terus beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau terdahulu mengadakan lawatan kerja di dua lokasi PST FAMA iaitu Pusat Operasi FAMA Seremban dan Agrobazaar Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan.
Tujuan lawatan kerja itu adalah bagi beliau melihat sendiri kelangsungan rantaian bekalan makanan melalui PST yang menawarkan barangan keperluan kepada pengguna khususnya penduduk setempat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh Fasa Pertama dijalankan.
Turut hadir Pengerusi FAMA, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh.
Tambah Che Abdullah, setiap PST akan mempunyai lapan komoditi teras iaitu sayur, buah, ikan, ayam, daging, produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS), barangan runcit dan makanan.
Katanya, melalui PST di Agrobazaar Sendayan, para pengguna digalakkan untuk membeli secara atas talian melalui Shopee atas nama pekedai Agrobazaar Sendayan bagi menikmati diskaun yang ditawarkan.
Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa MAFI sentiasa mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan, antaranya pengeluaran, pengedaran dan peruncitan produk hasil pertanian serta industri makanan.
“MAFI dengan kerjasama semua pihak bertanggungjawab akan terus memastikan keadaan sentiasa terkawal dan bekalan makanan berada dalam keadaan yang mencukupi serta stabil kerana sektor pertanian dan industri makanan diletakkan sebagai satu perkhidmatan perlu. – K! ONLINE