PETALING JAYA – Sempena hari ulang tahun kelahiran yang ke-31, pelakon Hafreez Adam tidak menang tangan apabila terpaksa berulang-alik hampir 31 kali turun naik ke lobi kediamannya untuk mengambil hadiah kiriman pelakon Azar Azmi.
Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik Hafreez dalam Instagramnya, pelakon itu memberitahu bahawa pada mulanya dia tidak tahu hadiah-hadiah tersebut dikirim oleh Azar untuknya.
“Ada orang rancang nak buat kejutan. Kononnya 31 biji kek cawan (cupcakes) untuk 31 kali penghantaran. Rumah pula jenis kondominium.
“Musim ‘lockdown’ semua penghantaran kena ambil kat bawah. Masa penghantaran pertama saya ambil. Tertanya juga siapa yang bagi sebab tak ada kad (pengirim). Cuma kek cawan dan balon,” katanya
Ujar pelakon drama Mona Lisa itu lagi, dia mendapat panggilan penghantaran hadiah setiap tiga hingga empat minit dan terpaksa turun ke bawah kediamannya untuk mengambil hadiah sehinggalah dia tidak larat untuk berbuat demikian.
“Sehingga panggilan kedua terakhir (kali ke-30), saya turun sendiri sebab rider (penghantar hadiah) kata kali ini tuan yang mengirimkan hadiah (Azar Azmi) minya saya ambil sendiri hadiah. Istimewa katanya,” ujarnya.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik dalam Instagramnya, Hafreez berkongsi saat dia menerima beberapa hadiah berupa jambangan bunga, kek, coklat dan belon yang diterima daripada Azar.
Sementara Azar menerusi Instagramnya menjelaskan, dia berbuat demikian (mengirimkan banyak hadiah) kepada Hafreez kerana ingin melihat pelakon itu berasa gembira ketika meraikan hari jadi.
“Saya tidak mahu apa-apa daripada awak. Tapi saya akan selalu mendoakan setiap langkah perjalanan awak.
“Mengirimkan hadiah sempena hari istimewa (hari jadi) awak, sekurang-kurangnya membuatkan awak gembira dan rasa dihargai,” tulisnya.
Dalam pada itu, Azar turut meminta maaf kepada Hafreez jika tindakannya menghantar hadiah yang banyak telah menyusahkan pelakon tersebut.
“Saya minta maaf kalau menjengkelkan awak. Selamat hari jadi yang ke-31 Hafreez Adam,” ujar Azar.
Tindakan Azar atau nama sebenarnya Siti Azar Ameerah Azmi, 32, membuat kejutan hari jadi Hafreez sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen apabila ramai yang berteka-teki, adakah mereka sedang dilamun cinta.
“Manisnya. Untuk Azar dan Hafreez saya mendoakan semoga berbahagia selalu, dipermudahkan segala urusan. Kalau jodoh kenapa tidak? Yang penting kamu berdua bahagian,” komen salah seorang pengikutnya.
Menguatkan andaian, Azar yang telah putus tunang pada Februari tahun lalu baru sahaja bercerita tentang status hatinya tetapi nekad untuk merahsiakan identii kekasih baharunya.
Pelakon yang popular menerusi drama Nur 2 itu mengakui bahawa dia sudah menemui pengganti, namun pengalaman putus tunang mengajarnya untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi perihal peribadinya kepada umum.
Malah, Azar turut memaklumkan bahawa dia kini memang sedang bercinta dengan seseorang dan akan berkongsi perkara tersebut dengan peminat dan mendia apabila sampai waktunya nanti. -K! ONLINE