SEBERANG PERAI – Hasrat seorang pelajar lelaki di Kepala Batas di sini untuk mencari kerja sambilan bukan sahaja tidak kesampaian, bahkan berputih mata kerana mengalami kerugian wang sebanyak RM2,186 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket semalam.
Mangsa berusia 19 tahun itu dikatakan terjerat dalam penipuan tersebut selepas melihat iklan yang menawarkan pekerjaan sambilan di kumpulan aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa yang berminat untuk menyertai pekerjaan sebagai pemberi ‘rating’ (penilaian) di sebuah platform e-dagang popular telah menghubungi seorang individu.
“Selepas perbincangan, suspek memberitahu bahawa mangsa telah dikreditkan dengan sejumlah komisen.
“Namun dia harus membuat pembayaran ke dalam satu akaun bank yang diberikan sebelum komisen tersebut diluluskan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang teruja dengan tawaran pekerjaan itu kemudiannya telah memindahkan wang berjumlah RM 2,185 secara berperingkat-peringkat ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek.
“Mangsa bagaimanapun sedar dia ditipu setelah suspek masih meminta bayaran tambahan bagi mendapatkan komisen yang lebih tinggi.
“Dia yang mula rasa curiga terus membuat semakan dengan polis sebelum sedar bahawa dirinya telah ditipu oleh sindiket menawarkan kerja sambilan yang tidak wujud,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berbeza, Noorzainy berkata, seorang peniaga wanita di sebuah platform e-dagang kerugian wang RM3,400 selepas menjadi mangsa penipuan oleh individu menyamar pelanggan yang mahu membeli sebuah buku baru-baru ini.
Menurutnya, mangsa dari Butterworth berusia 26 tahun itu terjerat selepas seorang individu kononnya mahu membeli buku berjudul Wanita Wajib Kaya dengan membuat pembayaran dari luar negara, namun mangsa perlu membuat pembayaran terlebih dahulu bagi membolehkan transaksi diluluskan.
Beliau berkata, mangsa yang terpedaya telah memindahkan wang sebanyak RM3,400 sebelum menyedari dirinya ditipu semalam.
Beliau berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE