PETALING JAYA – Pengamal bidang farmasi di negara ini berasa keliru serta gusar apabila perkhidmatan farmasi komuniti diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berdasarkan Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, ahli farmasi komuniti termasuk petugas kesihatan barisan hadapan dalam komuniti dan merupakan perkhidmatan perlu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh serta sumbangan mereka tidak perlu dipertikaikan lagi.
“Perkhidmatan farmasi komuniti dikawal sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan seorang ahli farmasi komuniti perlu mempunyai Sijil Pendaftaran Tahunan selain perlu membayar RM50 setahun untuk mengekalkan nama mereka dalam Pendaftar Ahli-ahli Farmasi oleh Lembaga Farmasi Malaysia.
“Ahli farmasi komuniti juga perlu mempunyai lesen A untuk menguruskan ubat-ubatan mengikut Akta Racun 1952 (Akta 366) dan segala peraturan berkaitan selain dan mereka juga perlu membayar RM300 setahun kepada KKM serta tambahan RM500 jika mereka menjalankan aktiviti pemborongan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Amrahi berkata, premis farmasi komuniti bukan kedai biasa dan turut dikawal mengikut Community Pharmacy Benchmarking Guidelines 2016 yang dikeluarkan KKM dan memerlukan sekurang-kurangnya seorang ahli farmasi berdaftar dan pemegang lesen A untuk beroperasi sebagai premis farmasi.
Katanya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia juga membuat ketetapan bahawa syarikat yang ingin menggunakan nama farmasi, perlu mempunyai seorang ahli farmasi berdaftar dan pemegang lesen A untuk beroperasi sebagai syarikat farmasi.
“Maka jelaslah bahawa akta, peraturan serta garis panduan yang berkaitan dengan perkhidmatan ahli farmasi komuniti dikawal sepenuhnya oleh KKM dan bukan KPDNHEP,” katanya.
“Justeru, kerajaan perlu mengembalikan perkhidmatan farmasi komuniti kepada KKM dan ia perlu dilakukan serta merta bagi mengelak sebarang kecelaruan dan masalah pada masa depan,” ujarnya. – K! ONLINE