PETALING JAYA – Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Itu yang dibuktikan oleh calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia 2020 di seluruh negara selepas masing-masing meraih keputusan terbaik sekali pun berdepan pelbagai cabaran sepanjang menghadapi peperiksaan itu.
Keputusan memberangsangkan yang diumumkan semalam turut menepis segala tanggapan negatif mengenai persediaan dan masa depan calon-calon SPM yang terpaksa menduduki peperiksaan itu mengikut norma baharu ekoran pandemik Covid-19.
Antara isu yang dibangkitkan adalah kekangan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ekoran masalah peranti dan capaian internet selain sesi persekolahan yang terbatas.
Di Jelebu, Negeri Sembilan, anak pembantu kantin sekolah, Fatin Nasuha Mahalil, 18, membuktikan kekurangan peranti untuk mengikuti PdPR di rumah tidak menghalangnya untuk mendapat keputusan A bagi semua lapan mata pelajaran.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pertang, Jelebu itu berkata, dia sebaliknya tetap gembira walaupun terpaksa berkongsi dua telefon pintar bersama lima adiknya yang lain.
“Sejak sekolah ditutup, kami hanya menggunakan dua telefon bimbit iaitu milik ibu dan kakak untuk mengikuti kelas PdPR. Telefon ayah pula hanya boleh digunakan selepas dia balik dari melakukan kerja-kerja kampung pada sebelah malam.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana berkat doa dan usaha selama ini, saya mampu meraih keputusan A bagi semua mata pelajaran,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang pendidik.
Di Muar, Johor, seorang anak pekerja pembersihan menghadiahkan keputusan 7A dan 2B yang diraih kepada ibu dan bapanya yang selama ini bersusah payah menunggang motosikal sejauh lebih 40 kilometer untuk berjumpa dengannya di sekolah.
Anissa Suhaimi, 18, yang bersekolah di SMK Munshi Abdullah, Melaka berkata, sebelum ini dia dan keluarganya menetap di Sungai Rambai, Jasin dan berpindah di Kampung Kesang Laut, di sini sejak tiga tahun lalu.
“Ayah bekerja sebagai pekerja pembersihan di Sungai Rambai, manakala emak pula suri rumah. Kami sekeluarga hanya mempunyai sebuah motosikal lama.
“Sepanjang bersekolah, emak dan ayah terpaksa menunggang motosikal dari Kesang Laut untuk berjumpa saya di asrama dan pernah sekali, ayah datang dalam keadaan basah kuyup semata-mata ingin menghantar duit belanja berjumlah RM10 untuk dua minggu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kesang Laut di sini semalam.
Di Balik Pulau, Pulau Pinang, seorang calon SPM tidak menyangka usahanya untuk mengikuti sesi PdPR di tepi jalan berhampiran rumah jirannya di Kampung Permatang Tepi di sini berbaloi apabila dia memperoleh keputusan cemerlang semalam.
Pelajar SMK Seri Balik Pulau, Muhamad Akmal Helmi, 18, berkata, dia sememangnya tidak menduga akan memperoleh keputusan 6A terutama bagi mata pelajaran Matematik, Matematik Tambahan dan Kimia disebabkan keterbatasan proses pembelajaran ekoran pandemik.
“Saya nekad untuk belajar bersungguh-sungguh biarpun terpaksa berkongsi alat komunikasi itu dengan dua adik.
“Melihat kepayahan yang saya lalui, ibu sanggup berkongsi duit hasil jualan pokok bunga hiasan dengan membeli sebuah telefon bimbit berharga RM600 Disember tahun lalu,” jelasnya.
Di Parit, Perak, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Al Aziz, Nurul Firzannah Mohd. Azman, 18, yang memperoleh keputusan 9A terpaksa menumpang jaringan tanpa wayar (WiFi) di rumah nenek saudaranya ekoran masalah capaian internet yang dialami.
Anak kepada pekebun sawit dan tukang jahit itu berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan dia tidak keciciran ketika sesi PdPR berjalan.
“Ketiadaan capaian internet di rumah kadang-kadang buat saya rasa tertekan kerana selalu ketingalan, namun saya anggap ini semua satu cabaran.
“Bagi menghilangkan tekanan, saya sering bangun tengah malam untuk menunaikan solat sunat tahajud dan pada waktu siang pula, saya banyak habiskan masa di rumah nenek untuk mengikuti PdPR,” katanya.
Di Alor Setar, Kedah, sepasang kembar tidak seiras, Aliff Alimi Azman, 18, dan Aliya Nur Liyana Azman, 18, yang juga anak kepada tukang cat tidak menyangka memperoleh keputusan cemerlang walaupun banyak menghabiskan masa belajar di rumah berbanding di sekolah.
Aliff Alimi memperoleh keputusan 9A, manakala Aliya Nur Liyana pula 2A, 3B dan 4C. Kedua-dua mereka merupakan pelajar SMK Sultan Abdul Halim, Jitra.
“Memang susah apabila tidak dapat berhubung dengan guru secara bersemuka seperti sebelum ini terutamanya bagi subjek yang susah seperti Matematik Tambahan.
“Bagaimanapun, berkat dorongan ibu bapa yang sentiasa membakar semangat, kami berjaya buktikan dengan kejayaan ini,” jelas Aliff Alimi.
Di Hulu Terengganu, Terengganu, cabaran sukar sebagai anak pengusaha aiskrim tidak menjadi penghalang Nur Amalia Aqilah Mohd. Basri, 18, untuk memperoleh keputusan 9A.
Pelajar SMA Mahmudiah Kuala Berang ini berkata, kesukaran melihat ibu bapanya mencari rezeki demi membesarkan mereka enam beradik menguatkan keazamannya untuk belajar bersungguh-sungguh.
“PKP tahun lepas banyak mengubah diri saya dari sudut tanggungjawab sebagai seorang anak. Pendapatan keluarga terjejas teruk dan ia adalah fasa yang sukar buat kami,” katanya. -K! ONLINE