PARIS – Pemain pilihan ke-3 yang juga juara bertahan, Rafael Nadal puas dapat menyingkirkan jaguh Argentina, Diego Schwartzman dengan keputusan 6-3, 4-6, 6-4, 6-0 untuk meraih tiket ke pusingan separuh akhir Terbuka Perancis yang akan berlangsung malam ini.
Kemenangan tersebut menyaksikan Nadal akan menentang pemain No.1 dunia yang juga musuh tradisi, Novak Djokovic dalam usaha melangkah ke final di Roland Garros buat kali ke-14 peribadi.
Kata Nadal, pertemuan menentang Djokovic ibarat seperti buku bertemu ruas kerana dia perlu berada pada tahap terbaik sekiranya berhasrat untuk meraih kemenangan memandangkan lawannya itu memiliki kualiti tersendiri.
“Sudah pasti aksi bertemu Djokovic akan memberikan cabaran besar buat saya kerana pada perlawanan itu saya tidak boleh melakukan kesilapan mudah yang membolehkan dia menguasai saingan.
“Apa yang pasti, saya sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan Djokovic kerana inilah salah satu sebab saya kekal aktif dalam arena tenis antarabangsa kerana mahu berdepan pemain yang dianggap antara terbaik sepanjang zaman,” katanya.
Sementara itu, Nadal mengakui rekod di atas gelanggang Roland Garros sangat baik selepas hanya tewas dua kali dalam 105 aksi selain mempunyai rekod cemerlang di pentas separuh akhir.
“Di atas kertas, saya tidak boleh nafikan saya merupakan pemain pilihan untuk ke final memandangkan ini adalah kejohanan kegemaran saya dan rekod saya sebagai juara 13 kali adalah sesuatu yang boleh dibanggakan,” kata pemain berusia 35 tahun itu. – AGENSI