MUAR – Seorang anak pekerja pembersihan menghadiahkan keputusan 7A dan 2B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 buat ibu bapanya yang sebelum ini bersusah payah menunggang motosikal lebih 40 kilometer selama tiga tahun bagi menyekolahkannya.
Anissa Suhaimi, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Melaka berkata, sebelum ini dia dan keluarganya menetap di Sungai Rambai, Jasin dan berpindah di Kampung Kesang Laut di sini sejak tiga tahun lalu.
Katanya, bapa, Suhaimi Md. Jas, 63, bekerja sebagai pekerja pembersihan di Sungai Rambai, manakala ibunya pula suri rumah.
“Kami sekeluarga hanya mempunyai sebuah motosikal lama untuk bergerak. Jadi sepanjang bersekolah, emak dan ayah terpaksa menunggang motosikal dari Kesang Laut untuk berjumpa saya yang tinggal di asrama.
“Malah pernah sekali, ayah datang dalam keadaan basah kuyup semata-mata ingin menghantar duit belanja berjumlah RM10 untuk dua minggu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kesang Laut, di sini, hari ini.
Anissa berkata, jika keluarga ingin berjumpa pada waktu pelepasan asrama, bapanya akan menurunkan ibunya terlebih dahulu di Melaka Sentral dan kemudian akan mengambilnya di sekolah sebelum berpatah balik ke stesen bas itu untuk meluangkan masa bersama-sama.
“Disebabkan tidak mahu menyusahkan keluarganya, saya cuba berjimat cermat dan jarang berbelanja di sekolah, sebaliknya hanya mengulang kaji pelajaran pada waktu rehat.
“Namun, saya tidak pernah berlapar, ada sahaja kawan-kawan yang baik hati membekalkan makanan untuk saya atas balasan saya membantu mereka dalam pembelajaran.
“Guru-guru di sekolah juga banyak membantu dan memberi dorongan untuk saya buat yang terbaik, bukan sahaja dalam pembelajaran tetapi juga kokurikulum,” katanya.-K!ONLINE