KOTA BHARU – Kaedah pembelajaran norma baharu menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) membuatkan Mohammad Zul Ikhwan Mohd. Baharudin, 18, terpaksa menghubungi gurunya lebih kerap untuk bertanyakan topik yang sukar.
Inisiatifnya yang terpaksa mengganggu guru sehingga pukul 12 tengah malam itu membuahkan hasil apabila pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dewan Beta tersebut memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.
Anak bongsu daripada enam beradik itu bersyukur dengan keputusan diperoleh walaupun terpaksa belajar tanpa guru dan secara PdPR.
“Alhamdulillah, saya memperoleh 9A walaupun semasa percubaan cuma 8A. Saya akui sepanjang PdPR agak mencabar, tetapi berkat usaha dan toleransi guru-guru setiap mata pelajaran melayan pertanyaan saya membuahkan hasil.
“Mereka banyak berkorban masa melayan saya meskipun terpaksa mengganggu mereka pada pukul 12 tengah malam. Guru-guru tetap membalas mesej bagi menjawab setiap permasalahan saya ajukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Terkesan dengan pengorbanan petugas barisan hadapan berdepan Covid-19, anak kepada pekerja kilang itu merancang mahu menyambung pelajaran dalam bidang perubatan supaya dapat mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang doktor.-K!ONLINE