JELEBU – Walaupun sukar mengikut kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), seorang pelajar luar bandar di Kuala Klawang di sini mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.
Puteri Ain Umairah Abnor Hamizam, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Undang Musa Al-Haj Kuala Klawang itu memperoleh keputusan 6A 1B+ dan 1C+ .
Menurut Puteri Ain Umairah, ibu bapa sentiasa membantunya ketika dia mengalami kesukaran untuk memahami subjek yang diajar guru menerusi kaedah PdPR.
“Memang agak susah sebenarnya belajar secara online sebab tak berhadapan secara bersemuka dengan cikgu dan susah nak tanya soalan.
“Namun, saya anggap itu sebagai cabaran. Saya mengambil inisiatif belajar sendiri selepas habis kelas supaya tidak lupa perkara yang diajar cikgu,” katanya yang tinggal di Kuala Klawang di sini hari ini.
Menurut Puteri Ain Umairah, pada awal Januari lalu, dia memasuki semula asrama selepas kerajaan membenarkan pelajar tingkatan lima meneruskan sesi persekolahan.
“Peluang ini digunakan sebaiknya untuk memahami pembelajaran yang tidak difahami secara terus di sekolah,” katanya.-K!ONLINE