MOSCOW – Seorang kapten kapal membawa kargo ammonium nitrat yang dikatakan menjadi punca tragedi di pelabuhan Beirut mendakwa telah memberi amaran mengenai bahan letupan itu beberapa tahun sebelum kejadian berlaku Selasa lalu.
Menurut akhbar Daily Mail, Boris Prokoshev yang mengemudi kapal MV Rhosus itu pada 2013 turut menulis beberapa pucuk surat kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin mengenai bahaya kapal tersebut apabila ia ditahan pihak berkuasa Beirut.
Kata Prokoshev, pemilik kapal dan ammonium nitrat tersebut, Igor Grechushkin didakwa telah meninggalkan kapal dan kru terkandas selama berbulan-bulan.
Bagaimanapun, kesemua kru dibebaskan pada 2014 dan ammonium nitrat berkenaan disimpan di sebuah gudang selama enam tahun.
“Pemilik kapal telah meninggalkan kargo dan ammonium nitrat. Ia adalah bahan yang mudah meletup. Dia juga meninggalkan kami.
“Kami tinggal bersama serbuk letupan selama sepuluh bulan tanpa menerima sebarang bayaran,” kata Prokoshev.
Selain itu, Prokoshev berkata, kapal Rhosus itu dijadualkan berlayar dari Batumi, Georgia ke Mozambique bersama kargo yang berbahaya sebelum terpaksa berlabuh di Beirut akibat kerosakan radar dan enjin.
Sementara berlabuh di Beirut, Prokoshev memberitahu, pemilik kapal tersebut, Igor Grechushkin mengarahkannya untuk mengambil kargo tambahan di bandar berkenaan.
“Mereka sangat tamak. Ia adalah mustahil dan ia boleh membuatkan kapal itu rosak,” kata Prokoshev.
Kapal tersebut terkandas di Beirut lebih setahun bersama Prokoshev dan beberapa kelasi warga Ukraine berikutan pihak berkuasa Lebanon cuba mendapatkan bayaran dan denda daripada Grechushkin.
Selepas letupan besar tersebut berlaku, Grechushkin dipercayai bersembunyi kerana diburu pihak berkuasa di Cyprus, negara dia menetap. – Agensi