CAMBRIDGE, MASSACHUSETTS – Satu kajian mendapati vaksin Johnson & Johnson mampu melindungi individu daripada beberapa varian kronik wabak Covid-19, lapor laman berita United Press International semalam.
Daripada kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Harvard itu mendapati, vaksin tersebut dapat mengaktifkan beberapa tindak balas imun untuk melawan pelbagai varian.
Hasil kajian Fasa Tiga itu menunjukkan berlakunya tindak balas imun dalam kalangan 20 individu yang telah divaksin serta empat jenis varian.
Dengan memberikan vaksin satu suntikan itu, ia dapat mendorong pesakit untuk menghasilkan antibodi-antibodi yang meneutralkan virus dan sel-sel T, yang sering digambarkan sebagai ‘tentera’ bagi sistem imunisasi.
Manakala daripada kajian ke atas beberapa sukarelawan dari negara yang mempunyai banyak varian seperti Brazil dan Afrika pula mendapati, badan mereka menghasilkan antibodi peneutralan lima kali lebih sedikit daripada individu yang dijangkiti dengan virus Covid-19 yang asal.
Bagaimanapun, mereka mampu menghasilkan lebih banyak antibodi jenis lain termasuk sel-sel T dan dilindungi daripada pelbagai varian.
Penyelidik yang membangunkan vaksin Johnson & Johnson berkata, kajian tersebut dapat memberi keyakinan kepada penduduk dunia dalam berdepan dengan virus Covid-19 kronik serta pelbagai jenis varian.
“Ini merupakan berita baik dan ia meningkatkan keyakinan kami bahawa vaksin sedia ada, khususnya Johnson & Johnson mampu melindungi individu daripada varian-varian yang wujud setakat ini.
“Hasil kajian itu juga menjadi alasan terbaik untuk menggalakkan orang ramai agar mendapatkan vaksinasi mereka secepat mungkin,” ujar Pengarah Pusat Virologi dan Kajian Vaksin di Pusat Perubatan Diakon Beth Israel, Dr. Dan Barouch. – AGENSI