JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri menyalurkan pemberian sebanyak RM500 kepada 300 orang pengamal media serta penggerak Info on Wheels sebagai menghargai dan mengiktiraf sumbangan mereka yang membuat penerangan dan advokasi tentang pandemik di seluruh negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Hasni Muhammad berkata, buat pertama kali dalam tempoh pandemik ini, pemberian kepada pengamal media yang tergolong dalam 16 inisiatif bagi sektor Masyarakat dan Modal Insan yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 secara maya hari ini.
Katanya, bagi sektor Masyarakat dan Modal Insan, peruntukan yang disediakan adalah sebanyak RM126.86 juta akan dibelanjakan merangkumi pelbagai pemberian sekali beri (one-off).
Tambahnya, selain sektor itu, mereka yang tergolong dalam Sektor Pelancongan, dan Sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana juga layak untuk mendapat manfaat bantuan terbabit di bawah PRE Ihsan Johor 3.0 yang menggunakan pendekatan secara sektoral.
“Dalam usaha untuk memperkukuhkan bantuan keselamatan sosial ini, individu yang menerima bantuan Pemerkasa Plus anda juga layak menerima bantuan Ihsan Johor 3.0. Pemberian bantuan sekali beri sebanyak RM500 turut diberikan kepada 45,487 penerima daripada pelbagai sektor.
“Pemberian bantuan itu diberikan kepada pengusaha kantin sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan, pemegang lesen premis gunting rambut atau salun, pemandu bas atau van sekolah yang berdaftar, peserta dalam senarai e-Kasih, imam, bilal dan noja, golongan yang hilang pekerjaan atau pendapatan dan ketua-ketua Kampung,” katanya dalam pengumuman PRE Ihsan Johor 3.0 di Facebooknya hari ini.
Hasni berkata, kerajaan negeri juga akan menyalurkan baucar barangan bernilai RM200 kepada 300,000 penerima yang dikategorikan dalam keluarga B40 serta membuat penyerahan bantuan program bakul makanan bernilai RM100 kepada 20,000 rakyat yang memerlukan dengan peruntukan sebanyak RM2 juta. -K!ONLINE