JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri memperuntukkan RM241 juta di bawah pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 yang diumumkan hari ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Muhammad berkata, PRE Ihsan Johor 3.0 melibatkan 33 inisiatif yang bertunjangkan dua fokus utama iaitu pemerkasaan pengurusan pandemik Covid-19 di negeri ini serta pengukuhan bantuan keselamatan sosial.
Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM75 juta diperuntukkan dalam fokus berkaitan Pemerkasaan Pengurusan Pandemik Covid-19 di negeri ini.
“Sebanyak RM40 juta bagi tujuan ini. Inisiatif ini akan membolehkan pihak Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) menjual vaksin kepada mereka yang memerlukan.
“Kerajaan negeri juga akan membeli Covid Test Kit RTK Antigen sebanyak 190,000 unit bagi menyokong usaha ujian saringan bersasar di negeri ini.
“Inisiatif ini akan dilaksanakan secara bersama-sama oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Bahagian Khidmat Pengurusan (SUK BKP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor,” katanya dalam Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 secara maya hari ini.
Hasni berkata, tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf bandar raya iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan turut membeli Covid Test Kit RTK Antigen yang mana inisiatif ini bakal memanfaatkan hampir 60,000 orang.
Katanya, Kerajaan negeri akan terus membiayai perbelanjaan operasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sekatan jalan raya (SJR) dan membiayai kebajikan frontliners yang melibatkan peruntukan sejumlah RM20 juta.
Inisiatif ini akan diselaraskan oleh SUK BKP dan semua Pejabat-pejabat Daerah yang merangkumi elaun, penyediaan makanan dan kelengkapan berkaitan dan akan terus dilaksanakan hingga Disember ini.-K! ONLINE