JOHOR BAHRU – Seorang pelayan sebuah restoran di Kota Masai, Pasir Gudang melahirkan rasa syukur apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai, Pasir Gudang, Muhammad Afif Mohd. Azmi, 18, yang mengambil aliran sains tulen meraih 8A dan 1B dalam keputusan yang diumumkan hari ini.
Menurutnya, meskipun berdepan cabaran dan kesukaran proses pembelajaran ketika pandemik Covid-19 melanda negara tidak menghalang anak bongsu tiga beradik itu mencapai impiannya.
“Belajar ketika pandemik memang mencabar tetapi itu bukan alasan untuk kita leka atau terus mengalah tetapi ambil sebagai ujian dan cabaran.
“Semasa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sukar nak dapatkan rangkaian sebab selalu putus-putus tetapi itu bukan halangan.
“Kalau tertinggal saya dapatkan balik secara personal dengan guru yang mengajar mata pelajaran, saya belajar macam orang lain juga cuma dua bulan sebelum peperiksaan sebenar saya buat pecutan terakhir, lebih fokus,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia merakamkan ucapan terima kasih atas iringan doa ibu bapa, keluarga, guru-guru serta rakan-rakan yang banyak memberi dorongan selain bertukar pendapat.
Jelas Muhammad Afif, dia bercadang akan menyambung pelajaran dalam bidang sains perubatan atau kejuruteraan sama ada Matrikulasi ataupun Program Asasi di mana-mana universiti awam.
“Insha-Allah kalau diizinkan saya akan sambung pelajaran di universiti awam untuk capai cita-cita saya sebagai pensyarah satu hari nanti,”katanya.-K! ONLINE