KOTA BHARU – Seorang petani dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 11 butir peluru di rumahnya di Pasir Puteh dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Faeez Awang, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol semi auto Mod 213 9 millimeter (mm) Tara dan satu kelopak pistol berwarna perak tanpa kebenaran yang sah.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua, Mohd. Faeez didakwa memiliki 11 butir peluru jenis 9 mm Luger PMC tanpa kebenaran yang sah.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan olehnya di Kampung Kelubi, Jalan Kota Bharu di Pasir Puteh kira-kira pukul 9.45 malam pada 29 Mei lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser.
Terdahulu, Abu Arsalnaa memohon agar tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Ahmad Adha dalam rayuannya meminta mahkamah menetapkan jaminan atas pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.
“Tertuduh masih bujang dan bekerja sebagai petani di kebun sayur-sayuran. Dia juga memperoleh pendapatan sebanyak RM800 hingga RM1,000 sebulan yang juga digunakan untuk membiayai perubatan ayah dan ibunya yang kini sedang sakit.
“Justeru, saya memohon agar jaminan yang rendah ditetapkan. Selain itu, pengalaman anak guam saya yang berada dalam tahanan polis selama 11 hari sudah cukup menginsafkannya,” katanya.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan sebarang ikat jamin dan menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Difahamkan, tertuduh dipercayai menggunakan pistol dan peluru kerana dia terlibat dengan sindiket pengedaran pil kuda di kawasan Pasir Puteh.-K!ONLINE