KUALA LUMPUR – Pelakon Fasha Sandha selamat melahirkan anak sulung hasil perkahwinannya bersama aktor Aidil Aziz sebentar tadi.
Berita gembira itu dikongsikan Aidil, 33, menerusi Instagramnya dengan menamakan bayi perempuan mereka sebagai Baby A buat masa ini.
“Alhamdulillah Baby A selamat dilahirkan dan sihat. Syukur ya Allah di atas rezeki ini. Terima kasih isteriku di atas kandungan selama ini,” tulis Aidil.
Gembira dengan kehadiran orang baharu dalam keluarga mereka, Aidil berkata, dia akan mengambil cuti selama sebulan untuk menjaga dan menemani Fasha berpantang.
“Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan kami. Semoga Allah perluaskan lagi rezeki kalian,” katanya.
Fasha, 36, dan Aidil mendirikan rumah tangga pada 30 Mac tahun lalu. Sebelum ini dia pernah mengalami keguguran pada Jun tahun lalu.
Terdahulu menerusi perkahwinan pertamanya bersama Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitU Putra Rayfal Ramli, 7, dan Putri Raysha Jemyma, 6. – K! ONLINE