SEBERANG PERAI – Balai Polis Trafik Kepala Batas di Jalan Kedah, Kepala Batas di sini terlibat kebakaran awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, kebakaran itu melibatkan dua buah bangunan satu tingkat yang berkembar.
“Bangunan pertama berkeluasan kira-kira 56 meter persegi yang dijadikan bilik bersedia anggota terbakar 60 peratus.
“Manakala, bangunan kedua berkeluasan sama yang dijadikan stor terbakar sebanyak 10 peratus,” katanya kepada pemberita hari ini.
Jurucakap itu berkata, kebakaran dapat dikawal pada pukul 4.56 pagi sebelum api dipadamkan sepenuhnya.
Operasi yang membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas itu turut dibantu oleh BBP Bertam dan Kuala Muda serta pasukan bomba sukarela (PBS) berhampiran.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kebakaran disedari seorang anggota yang berada di dalam bangunan berkenaan.
“Anggota itu mengalami sesak nafas dan terasa panas sebelum dia melihat api marak bermula dari tingkap.
“Punca kejadian serta kerugian dan kerosakan masih dalam siasatan,” katanya.- K! ONLINE