fbpx

Kontena terbakar, laluan terhalang lebih dua jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba memadamkan kebakaran dalam kemalangan sebuah kontena di Kilometer 263.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dari Kuala Kangsar ke Ipoh dekat sini semalam.

IPOH – Seorang pemandu kontena cedera apabila kenderaan dipandunya hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik dan terbakar di Kilometer 263.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dari Kuala Kangsar ke Ipoh dekat sini petang semalam.

Kejadian itu mengakibatkan trafik arah selatan terhenti dan arah utara perlahan lebih dua jam bagi operasi memadamkan api sebelum laluan kecemasan dibuka.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.29 petang sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya bergegas ke tempat kejadian.

Menurut jurucakap tersebut, operasi pemadaman turut dibantu jentera dari BBP Ipoh, BBP Kuala Kangsar dan pasukan bomba sukarela Pekan Baru.

“Sebaik tiba, kami mendapati sebuah lori kontena yang membawa muatan kadbod terbakar lebih 60 peratus dan terdapat seorang mangsa lelaki warga tempatan iaitu pemandu kenderaan mengalami kecederaan pada tangan dan kaki.

“Bomba mengalami kesukaran untuk memadamkan api kerana bahan muatan yang dibawa adalah jenis mudah terbakar menyebabkan api marak dengan cepat,” ujar jurucakap tersebut dalam satu kenyataan di sini.

Operasi pemadaman turut dibantu petugas PLUS bagi mengalihkan lori kontena tersebut menggunakan kren.

Anggota bomba bertindak membuat pemadaman dengan menggunakan semburan buih serta dua aliran 60 meter pancutan menggunakan kenderaan bantuan air bomba.

Operasi diketuai PBK II Kousaidi Mohd. Saad serta turut disertai pegawai kanan, Penguasa Bomba Aidil Adlee Che Mee itu tamat sepenuhnya pada pukul 3.11 pagi tadi.

Sementara itu, maklumat Twitter PLUS menyatakan, lorong kiri arah selatan mula dibuka pada pukul 8.28 malam manakala lorong kanan kedua-dua arah serta tengah arah utara masih ditutup bagi kerja-kerja pengalihan kontena berkenaan.

Trafik kembali terkawal dan laluan kedua-dua arah dibuka semula pada pukul 4.40 pagi.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI