PETALING JAYA – Pesawat kargo pertama milik Teleport, jenis 737-800F dan dua pesawat penumpang AirAsia jenis A320 yang telah ditukar kepada pesawat kargo, tanpa tempat duduk akan mula beroperasi menjelang suku ketiga tahun ini.
Teleport adalah cabang logistik AirAsia Digital.
Perkhidmatan yang beroperasi dari hab Teleport di Bangkok, Thailand itu akan memperkukuhkan kedudukannya sebagai sebuah syarikat logistik udara utama di rantau.
Ketua Pegawai Operasi, Adrian Loretz berkata, tambahan kapasiti ini akan memperkukuh jaringan laluan antara China, India dan Asia Tenggara serta meningkatkan lagi hubungan bagi pasaran jarak jauhnya.
Jelas beliau, kedua-dua buah pesawat udara jenis A320 tanpa tempat duduk itu akan ditempatkan di Malaysia dan Thailand, manakala dari hab strategiknya iaitu Bangkok dan Kuala Lumpur, Teleport akan meneruskan jadual penerbangnya ke bandar-bandar utama seperti Hanoi, Bandar Raya Ho Chi Minh, Hong Kong, Jakarta dan Yangon.
Penukaran pesawat jenis A320 di Malaysia telah dilaksanakan oleh Asia Digital Engineering (ADE), anak syarikat milik penuh AirAsia Group Bhd. dan penukaran pesawat udara A320 di Thailand dilaksanakan oleh Thai AirAsia.
“Ini adalah sebahagian daripada strategi kami untuk membina kapasiti dan hubungan di laluan-laluan utama bagi menawarkan penghantaran terus barangan kepada pelanggan dalam masa 24 jam di seluruh Asia Tenggara.
“Jenis pesawat yang kami gunakan amat sesuai untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam industri e-dagang dan kargo-kargo lain.
“Rancangan jangka panjang kami adalah untuk membina rangkaian yang lebih luas dengan kapasiti kargo khas ini dan kami bersedia untuk melaksanakan lebih banyak perkhidmatan penghantaran dengan pesawat kargo khas serta pesawat yang ditukar ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Sejak tahun 2020, Teleport telah membangunkan rangkaian khas kargo menerusi laluan-laluan udara utama di sekitar rantau ini untuk memenuhi permintaan industri e-dagang dan kargo secara keseluruhan.
Pada Mei lalu, AirAsia telah mengendalikan enam buah pesawat udara jenis A330 dan dua pesawat udara jenis A320 serta merancang untuk meningkatkan jumlahnya dalam masa setahun.