PETALING JAYA – AmBank telah meningkatkan usaha berterusan dalam menyediakan bantuan kepada pelanggannya yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh baru-baru ini bagi mengekang jangkitan Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, pihaknya mengalu-alukan seruan kerajaan kepada institusi perbankan untuk menyediakan bantuan lanjutan kepada peminjam dan AmBank akan terus membantu pelanggan menerusi pakej bantuan yang disesuaikan mengikut keperluan mereka.
“Sehingga 31 Mac 2021, kami telah melanjutkan bantuan bayaran balik pinjaman dan pembiayaan berjumlah RM15.2 bilion melibatkan semua segmen pelanggan serta meluluskan hampir 100 peratus permohonan bantuan bayaran balik yang dikemukakan.
“Kami berhasrat untuk melanjutkan perkhidmatan ini sehingga 31 Disember 2021 dan sedar akan keperluan untuk mengkaji kemungkinan memberikan lebih lanjutan sekiranya diperlukan, sehubungan pelaksanaan PKP 3.0,” katanya dalam satu kenyataan.
Bantuan bayaran balik pinjaman diperluaskan kepada semua pelanggan AmBank yang kehilangan pekerjaan, golongan B40 yang merupakan penerima Bantuan Sara Hidup atau Bantuan Prihatin Rakyat, perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana yang tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP penuh.
Mereka diberi pilihan moratorium pembayaran selama tiga bulan atau pengurangan bayaran pinjaman sebanyak 50 peratus untuk enam bulan.
Selain itu, semua pelanggan yang mengalami penurunan pendapatan akan turut ditawarkan bayaran ansuran bulanan lebih rendah, seiring dengan penurunan dalam pendapatan mereka.
Bagi golongan yang tidak memenuhi kriteria ditetapkan dan menginginkan bantuan dalam bentuk lain, AmBank turut menyediakan bantuan bayaran balik yang memenuhi keperluan kewangan dan keadaan mereka bagi meringankan beban kewangan peminjam.