fbpx

9.3 juta kerja kosong perlu diisi di Amerika Syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

WASHINGTON – Jabatan Tenaga Kerja Amerika Syarikat (AS) melaporkan terdapat sebanyak 9.3 juta jawatan kosong yang direkodkan pada April lalu dan memerlukan pengisian segera, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.

SItuasi ini berlaku ketika semua perniagaan berusaha untuk mengisi kekosongan jawatan ekoran pekerja yang berhenti kerja pada kadar yang lebih tinggi berbanding sebelum pandemik.

Menerusi Ringkasan Tawaran Pekerjaan dan Perolehan Tenaga Kerja Bulanan, Jabatan Tenaga Kerja berkata jumlah tawaran pekerjaan meningkat sejuta pada Mac, peningkatan bulanan tertinggi sejak tahun 2000. 

Sebelum wabak Covid-19 melanda dunia, jumlah tawaran pekerjaan menurun kepada kira-kira 4.6 juta.

Biarpun dengan kekosongan jawatan, pemilik perniagaan berdepan cabaran sukar untuk mengupah pekerja baharu.

Ini berikutan masalah kekurangan pekerja yang layak, masalah penjagaan anak-anak pekerja di musim pandemik, peningkatan faedah pengangguran semasa pandemik dan ketakutan Covid-19 yang berterusan.

Sementara itu, hampir empat juta pekerja berhenti kerja pada April lalu dan jumlah itu adalah dua kali ganda berbanding jumlah pekerja berhenti pada waktu sama tahun lalu.

Jumlah jawatan kosong terbesar berlaku dalam perkhidmatan penginapan dan makanan (349,000), perkhidmatan pelbagai (115,000) dan pembuatan barang tahan lama (78,000).

Jumlah jawatan kosong menurun paling banyak dalam perkhidmatan pendidikan (23,000) serta perlombongan dan pembalakan (8,000). 

Menurut ahli ekonomi JP Morgan, Daniel Silver, kenaikan bukaan pekerjaan menunjukkan ramai pekerja lebih yakin dengan kemampuan mereka mencari jawatan lebih baik dan meninggalkan pekerjaan yang dianggap tidak berbaloi.

“Faktor ini menandakan sudah tiba masanya sesebuah firma menaikkan gaji asas pekerja dan dapat diperhatikan, banyak langkah proaktif lain juga sudah diambil sejak akhir-akhir ini,” ujarnya. -Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI