Pada 1 Jun lalu, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad melaporkan bahawa sebanyak 16 buah pesawat tentera udara milik China dikesan telah terbang memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia di Kota Kinabalu.
Ramai yang terkejut dengan kelibat pesawat pengangkut strategik jenis Ilyushin Il-76 dan Xian Y-20 itu yang didakwa masuk ke ruang udara kita.
Selang beberapa hari selepas kejadian itu, sebuah kapal Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) pula dikatakan memasuki perairan negara di Pantai Miri, Sarawak pada 4 Jun lalu.
Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 mendedahkan, kapal-kapal milik CCG dan Tentera Laut Pembebasan China (PLA) sebenarnya telah menceroboh perairan negara sebanyak 89 kali antara tahun 2016 hingga 2019. Mungkin perkara yang sama juga berlaku melibatkan pencerobohan ruang udara.
Maksudnya, perbuatan yang didakwa sebagai pencerobohan ini sebenarnya bukanlah perkara baharu kerana rupa-rupanya telah banyak kali berlaku.
Persoalannya, mengapa perkara ini boleh dibiarkan terus berlaku? Adakah aset-aset yang dimiliki negara masih tidak mencukupi atau tidak digeruni musuh sehingga mereka boleh sewenang-wenangnya merobek kedaulatan samudera dan ruang udara kita? Atau, apakah bantahan melalui saluran diplomatik mengenai pencerobohan itu tidak dihormati?
Permasalahan ini sebenarnya bukan isu kecil kerana ia melibatkan maruah dan ancaman kepada negara. Ia seharusnya diselesaikan dan ditangani secara serius.
Tindakan pantas pihak TUDM yang berjaya mengesan dan memintas pencerobohan 16 pesawat China itu wajar dipuji, namun pemintasan yang hanya menggunakan pesawat pejuang ringan jenis Hawk 208 mungkin dilihat tidak cukup untuk menggerunkan musuh.
Walaupun negara memiliki pesawat pejuang yang lebih baik daripada Hawk iaitu Sukhoi SU-30 MKM dan FA-18D Hornet, namun kedua-dua pesawat itu juga dilihat telah berusia. Sudah tiba masanya TUDM dilengkapkan dengan pesawat pejuang moden yang lebih baik.
Jika bukan pesawat pejuang canggih seperti F-35 Lightning, F-22 Raptor atau Sukhoi Su-57 sekali pun, pesawat pejuang lain versi terkini wajar dipertimbangkan untuk memperkasakan TUDM.
Begitu juga dengan kekuatan aset yang mengawasi samudera. Pencerobohan yang berterusan di laut menunjukkan kita perlu memperkuatkan pasukan kapal tempur pesisir (LCS) serta aset-aset yang lain untuk mengawasi perairan negara.
Mungkin sekarang bukan masa yang sesuai untuk bercakap mengenai penyediaan aset-aset perang, terutamanya ketika negara kini terpaksa berbelanja besar untuk program vaksinasi serta bergelut untuk mempertahankan ekonomi akibat pandemik Covid-19, namun isu mengenai maruah negara juga tidak seharusnya dipandang enteng.