SHAH ALAM – Seramai 1.6 juta rakyat Selangor akan menerima manfaat menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 bagi membantu meringankan beban akibat terkesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini melibatkan peruntukan sebanyak RM551.56 juta menerusi 25 program bertemakan ‘Bersama Menuju Kejayaan’ itu.
Katanya, pakej itu meliputi tiga strategi utama iaitu menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ; menyelamatkan industri serta sektor ekonomi selain usahawan Selangor dan kawalan kesihatan untuk mengekang penularan wabak.
“Program Bakul Makanan diteruskan kepada golongan berpendapatan rendah, sumbangan khairat kematian sebanyak RM1,000 kepada keluarga bagi setiap pesakit Covid-19 yang meninggal dunia dan bantuan khas RM500 kepada orang kurang upaya (OKU).
“Kita juga bersetuju melaksanakan moratorium bayaran pinjaman Hijrah selama satu bulan setengah kepada 40,000 usahawan Hijrah Selangor,” katanya ketika mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0 secara maya hari ini.
Beliau memberitahu, tempoh mula bayaran ansuran pinjaman turut dilanjutkan daripada enam bulan kepada 12 bulan bagi semua peminjam yang menamatkan pengajian sepanjang tahun 2021 dan permohonan boleh dilakukan menerusi portal Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor. – K! ONLINE