POZNAN, Poland – Ketua jurulatih Poland, Paulo Sousa sudah mula merasai bahang tekanan berdasarkan prestasi semasa skuad bimbingannya dalam persediaan menghadapi Euro 2020 awal pagi Sabtu ini.
Pasukan ranking ke-21 dunia itu gagal meraih sebarang kemenangan apabila sekadar mencatat dua keputusan seri dalam dua perlawanan pemanas badan termasuk seri 2-2 dengan Iceland di Stadium Poznan awal pagi semalam.
Lebih malang, kali terakhir Poland mencatat kemenangan dalam aksi antarabangsa adalah ketika menewaskan negara kerdil, Andorra 3-0 sewaktu kelayakan Piala Dunia 2022 pada Mac lalu.
Justeru, Sousa kini perlu mencari jalan untuk memastikan pasukannya tidak terlalu bergantung harapan kepada ketua pasukan, Robert Lewandowski (Lewy) sekiranya ‘mesin gol’ Bayern Munich itu dirantai ketat dalam mana-mana perlawanan.
Ia terbukti apabila Lewy dilihat tidak berfungsi ketika bertemu Iceland awal pagi semalam yang menyaksikan Poland terpaksa bangkit dua kali, malah terpaksa menunggu sehingga hujung perlawanan untuk mengikat keputusan seri.
Penyerang berusia 32 tahun itu yang meledak 48 gol bersama Bayern musim ini, gagal mengulangi pencapaiannya bersama Poland yang terpaksa mengharapkan jaringan daripada Piotr Zielinski dan Karol Swiderski.
Jika situasi sama berterusan, hasrat Poland untuk mengulangi pencapaian mara ke peringkat suku akhir sewaktu edisi 2016 dilihat sukar direalisasikan.
Sebagai rekod, Poland bakal berhadapan saingan sukar dalam saingan Kumpulan E Euro 2020 menentang Slovakia pada 15 Jun ini diikuti Sepanyol (20 Jun) dan Sweden (24 Jun). – AGENSI