KOTA BHARU – Taktik penduduk di Sungai Pengkalan Datu di sini untuk menangkap ikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh tidak berhasil apabila sebanyak 103 bubu naga yang dipasang mereka dirampas oleh Jabatan Perikanan Kelantan semalam.
Bubu naga bernilai hampir RM15,500 yang dipasang secara haram itu ditemui di sepanjang Sungai Pengkalan Datu hingga Pulau Gajah di sini.
Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Nazri Ishak berkata, rampasan bubu naga itu dilakukan di antara dua lokasi itu melibatkan jarak sejauh lima kilometer bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang.
Menurutnya, siasatan mendapati bubu itu dipasang oleh individu yang juga penduduk sekitar dengan mengambil kesempatan untuk menangkap ikan menggunakan kaedah tersebut ketika PKP penuh ketika ini.
“Berdasarkan maklumat, kesemua bubu naga itu dipercayai baru diletakkan di dalam sungai pada awal pagi semalam dan kita turut merampas beberapa bubu naga yang masih belum digunakan di beberapa jeti nelayan di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Nazri berkata, kesemua bubu naga dibawa ke Pangkalan Perlindungan Sumber Tawang, Bachok untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE