KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan dia serahkan semua perihal kerajaan persekutuan gagal dalam menangani pandemik Covid-19 kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, isu tersebut adalah antara isu yang dibincangkan dalam pertemuannya selama satu jam bersama Seri Paduka Baginda.
“Tuanku merupakan harapan kepada rakyat kerana Parlimen tidak bersidang, tiada ruang untuk rakyat menyuarakan masalah mereka.
“Saya rasa Tuanku faham tentang perkara ini dan kita serah kepada kebijaksanaan Seri Paduka Baginda,” katanya kepada media di Pintu 2 Istana Negara di sini hari ini.
Tambahnya, dia turut memberi pandangan tentang isu eknomi dan keperluan membantu rakyat di dalam musim pandemik ini.
“Rakyat seharusnya dibela daripada segi bantuan ekonomi yang lebih besar dan aspek vaksinasi yang harus disegerakan kepada seluruh rakyat,” ujarnya. – K! ONLINE