SHAH ALAM – Sindiket penyeludupan tembakau kunyah (chewing tobacco) bernilai hampir RM380,000 tumpas dalam dua serbuan berasingan di Perak, baru-baru ini.
Dalam serbuan selama 30 minit bermula pukul 8.30 pagi, Ahad lalu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit II (Selangor) turut menahan seorang lelaki penjaga premis warga Bangladesh berusia 26 tahun.
Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah, Rameli Ahmad berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua barangan tersebut disimpan di dalam sebuah guni berwarna putih dalam dua premis masing-masing di Kampung Kepayang, Simpang Pulai dan Bandar Seri Botani, Ipoh.
Katanya, turut dirampas beberapa buah mesin bernilai RM12,500 dipercayai digunakan untuk memproses dan membungkus ‘chewing tobacco’ itu.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati barangan tersebut telah diimport dari India.
“Barangan tersebut adalah untuk pasaran tempatan dengan kebanyakan pelanggan adalah warga asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -K!ONLINE