PETALING JAYA – Sebanyak 10,000 buah komputer riba akan diberikan kepada murid Tingkatan 5 dan 6 di sekolah bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dan murid di Sekolah Agama Negeri yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia tahun 2021.
JPN Sabah dalam satu kenyataan berkata, penerima komputer riba itu nanti melibatkan seramai 9,842 murid Tingkatan 5 dan 6 di sekolah bawah JPN Sabah dan 158 murid di Sekolah Agama Negeri.
“JPN Sabah amat menghargai inisiatif kerajaan negeri Sabah untuk mengagihkan bantuan 10,000 komputer riba menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) seperti yang diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor semalam.
“JPN Sabah bersama Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah di seluruh negeri akan memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan negeri untuk mengenal pasti murid yang layak menerima bantuan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, JPN Sabah turut mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan kerajaan negeri Sabah untuk bersama-sama memastikan murid terus mendapat akses pendidikan mengikut kesesuaian murid dan guru, khususnya dalam tempoh mencabar ini. – K! ONLINE