fbpx

Jumlah kes aktif terus meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham

PUTRAJAYA – Jumlah kes aktif didapati terus meningkat di sebalik penurunan kes positif berikutan peningkatan kes mendadak pada minggu epidemiologi (ME) ke-20 dan ME ke-21.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif meningkat kepada 78,017 kes pada awal ME ke-22 (30 Mei) berbanding 57,022 kes pada awal ME ke-21 (23 Mei) dengan peningkatan sebanyak 20,995 kes atau 37 peratus.

Menurutnya, meskipun terdapat penurunan 2.6 peratus kes mingguan, namun jumlah kes aktif masih terus meningkat dengan jumlah kes aktif Covid-19 yang masih dalam rawatan dan pemerhatian adalah sebanyak 82,797 kes setakat semalam.

Dari segi kapasiti dan keupayaan fasiliti kesihatan, katanya, kadar penggunaan katil Covid-19 di ICU telah meningkat dari 96 peratus pada 24 Mei hingga 104 peratus pada 6 Jun.

“Kadar penggunaan katil ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan dan tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hospital-hospital di seluruh negara juga sedang berhadapan dengan peningkatan kes bergejala serius melibatkan kategori empat dan lima.

“Ini memerlukan bantuan oksigen dan bantuan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas dan pesakit menghidap lain-lain penyakit.

“Pesakit-pesakit ini memerlukan tempoh pemulihan yang lama untuk sembuh disebabkan komplikasi serius daripada jangkitan Covid-19.

“Statistik yang diterima oleh CPRC Kebangsaan menunjukkan purata tempoh rawatan bagi kategori empat adalah di antara 14 hari ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori lima pula, tempoh rawatan adalah selama 19 hari ke 26 hari,” jelasnya.

Kesinambungan daripada situasi yang dinyatakan, Noor Hisham berkata, KKM ingin mengingatkan semua pihak bahawa situasi penularan Covid-19 yang dihadapi negara masih kekal pada situasi sangat serius.  -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI