MILAN – Pemain pertahanan Itali, Leonardo Bonucci menegaskan, kerjasama satu pasukan menjadi sumber kekuatan pasukan itu menjelang saingan Euro 2020 yang bakal memulakan aksinya Sabtu ini.
Katanya, skuad The Azzurri sudah tidak sabar untuk beraksi pada kejohanan empat tahun sekali itu apabila dijadualkan berdepan Turki bagi aksi sulung Kumpulan A.
Meskipun Itali tidak dianggap antara pasukan pilihan pada edisi kali ini, namun Bonucci percaya skuad kendalian Roberto Mancini itu mampu menghadirkan rasa gerun buat pasukan lain.
“Kami sudah lama menunggu saat ini dan akhirnya ia akan bermula. Sudah tentu saingan kali ini berbeza kerana penyokong sudah dapat kembali ke stadium bagi memberikan sokongan.
“Itali adalah sebuah pasukan yang tidak bergantung pada kemampuan individu seperti Cristiano Ronaldo atau Romelu Lukaku. Kami adalah sebuah pasukan yang amat mementingkan kerjasama semua pemain,” katanya.
Tambah pemain berusia 34 tahun itu, sejak berada di bawah bimbingan Mancini, Itali berjaya menampilkan aksi berbeza apabila sudah menjaringkan 25 gol selain tidak bolos dalam lapan perlawanan terakhir.
“Projek yang dibentuk sudah semakin membuahkan hasil. Gabungan pemain muda dan berpengalaman memberi kesan positif kepada pasukan kerana kami banyak bermain secara menyerang sekarang,” ujarnya. – AGENSI