DUSSELDORF – Jerman dilihat sudah bersedia untuk menghadapi Euro 2020 selepas membelasah Latvia 7-1 pada aksi persahabatan di Esprit Arena awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Jerman menjaringkan tujuh gol menerusi Robin Gosens, Ilkay Gundogan, Thomas Muller, Serge Gnabry, Timo Werner, Leroy Sane serta jaringan sendiri Roberts Ozols sementara gol Latvia dijaringkan Aleksejs Saveljevs.
Jurulatih skuad Die Mannschaft, Joachim Low mengakui berpuas hati dengan aksi ditampilkan anak-anak buahnya yang dilihat bersungguh-sungguh memburu jaringan.
“Banyak perkara positif yang boleh diambil daripada perlawanan ini. Semua pemain sudah menampilkan aksi terbaik selain konsisten menjaringkan gol sepanjang 90 minit.
“Saya lega kerana perbincangan yang kami lakukan sebelum ini membuahkan hasil. Kami bermain dengan rentak yang pantas selain beri tekanan kepada pasukan lawan,” kata Low.
Bagaimanapun, beliau masih berharap pemain-pemainnya memperbaiki beberapa kelemahan sebelum memulakan aksi sulung Euro 2020 menentang Perancis minggu depan.
“Kami berdepan masalah dari segi penyudah dalam tempoh beberapa bulan terdahulu. Sekarang ia sudah diperbaiki dan saya harap semua pemain menampilkan aksi lebih baik nanti,” ujarnya. – AGENSI