JOHOR BAHRU – Pengoperasian Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dijangka beroperasi mulai 17 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, hospital berkenaan dilengkapkan dengan empat katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 60 katil wad secara berperingkat dan ditempatkan di perkarangan hadapan bangunan induk HSA.
Katanya, pihak ATM telah bersetuju membantu menyediakan fasiliti tambahan untuk perawatan pesakit Covid-19 di HSA dengan kerja pemasangan aset itu bermula hari ini dan esok.
“Di samping petugas HSA, pihak ATM akan menggerakkan tiga pegawai dan 30 staf teknikal (paramedik) bagi membantu operasi dan memberi perawatan pesakit Covid-19 di hospital medan ini.
“Tempoh operasi hospital medan ini bergantung kepada situasi pandemik Covid-19 negeri ini terutama daerah Johor Bahru dan daerah berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. -K! ONLINE