PETALING JAYA – Seorang doktor wanita yang sedang sarat mengandung ditimpa musibah setelah beliau disahkan positif Covid-19 ketika kandungannya itu berusia 29 minggu.
Doktor itu, Fatihah Shaharudin, 29, dijangkiti wabak Covid-19 sejak seminggu lalu dan dimasukkan ke Hospital Kajang sebelum dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh baru-baru ini.
Menurut bapa saudaranya, Mohd Ali Mohd Derus, berkata, kini, kandungannya itu selamat dilahirkan dan terpaksa dikeluarkan lebih awal untuk mengelakkan sebarang komplikasi yang lebih teruk jika terlambat.
“Alhamdulillah, dia (Fatihah) kini selamat melahirkan bayinya dan kedua-dua mereka di dalam keadaan yang stabil selepas pembedahan dilakukan.
“Pada awalnya, Fatihah dimasukkan ke Hospital Kajang pada 30 Mei (Isnin) lalu akibat jangkitan kuman di paru-parunya sebelum disahkan positif Covid-19 sehari selepas itu dan diketahui melalui hasil saringan bergejala yang dilakukan di hospital tersebut,” jelas bapa saudaranya itu.
Tambahnya lagi, ahli keluarga Fatihah turut positif Covid-19 dan mereka kini sedang menjalankan kuarantin kendiri di rumahnya.
Terdahulu, tular di laman Twitter tentang Dr. Fatihah yang positif Covid-19 menerusi ciapan Twitter Public Health Malaysia (@health_malaysia) yang mengajak pengguna media sosial untuk sama-sama berdoa agar diberikan kesembuhan kepada Dr. Fatihah.
“Mari bersama kita doakan supaya Dr. Fatihah dan bayi selamat melawan wabak Covid-19 ini. Semoga doa kita semua dimakbulkan, aamin!” ciapnya. – K! ONLINE.