ROMPIN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pahang mendekati komuniti nelayan di Teluk Gading, di sini, hari ini bagi memberi penerangan mengenai isu keselamatan termasuk prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika bekerja di atas bot.
Ketua Pos Maritim Teluk Gading, Leftenan Madya Maritim Faiz Sukarmo berkata, inisiatif itu dilakukan sempena sambutan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim Peringkat Kebangsaan yang disambut setiap 6 Jun.
“Dalam program hari ini kita telah meninjau lokasi tumpuan komuniti maritim setempat dan menyampaikan peringatan serta mengedarkan risalah keselamatan di laut.
“Sambil bertanya khabar dengan kelompok masyarakat persisir pantai, kami juga mengagihkan risalah berkaitan serta penerangan ringkas tata cara pemakaian jaket keselamatan yang betul serta pematuhan SOP bekerja diatas bot, khususnya dalam situasi pandemik Covid-19,”katanya di sini, hari ini.
Tambah Faiz pihaknya turut menyampaikan penerangan ringkas mengenai operasi mencari dan menyelamat yang diterajui oleh APMM selama ini. -K! ONLINE