PUTRAJAYA – Laporan daripada Jawatankuasa Siasatan mengenai insiden perlanggaran tren Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya yang berlaku pada 24 Mei lalu dijangka akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet esok.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata, beliau berpuas hati dengan laporan yang dibentangkan secara maya oleh sembilan anggota diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan itu.
Menurutnya, laporan dibuat secara profesional, komprehensif dalam perinciannya dan dapat diselesaikan dalam tempoh 14 hari yang diberikan kepada mereka.
“Pada ketika ini, saya masih meneliti dokumen-dokumen dan hasil penemuan yang diberikan oleh Jawatankuasa Siasatan.
“Saya berharap dapat membentangkan dapatan laporan ini kepada Kabinet esok dengan beberapa cadangan untuk meningkatkan keselamatan dan prosedur operasi standard untuk tren RapidRail,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Katanya, penemuan dan cadangan itu juga akan diharap dapat meningkatkan infrastruktur perkhidmatan kereta api Malaysia untuk jangka panjang pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Ka Siong turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Jawatankuasa Siasatan atas usaha keras selama beberapa hari dalam menyiapkan laporan tersebut termasuk turun padang ke Pusat Kawalan Operasi LRT Kelana Jaya selain membuat sesi simulasi di tempat kejadian, temu siasat serta meneliti dokumen-dokumen panduan operasi berkaitan. -K! ONLINE