fbpx

Rider FoodPanda bantu keluarga kehabisan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian rider FoodPanda yang datang bersama barang-barang keperluan dapur sumbangan mereka bagi membantu keluarga Nor Maziani di Kuala Kangsar kelmarin.

IPOH – Sebuah keluarga di Taman Bukit Kerajaan, Kuala Kangsar yang terputus bekalan makanan kerana hilang punca pendapatan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terkejut apabila menerima kehadiran sekumpulan rider FoodPanda bersama barang-barang keperluan harian untuk membantu keluarga tersebut.

Kunjungan 10 rider FoodPanda Kuala Kangsar menaiki motosikal bersama sebuah kereta itu kelmarin sama sekali tidak diduga, namun sangat menggembirakan keluarga itu apabila mengetahui kesusahan mereka dibantu.

Kisah keluarga ini sebelumnya tular di laman Facebook apabila dimuat naik beberapa individu tentang keluhan Nor Maziani Ab. Wahab, ibu lima beranak yang mengusahakan khidmat mencuci kereta di rumahnya hilang mata pencarian, manakala suaminya, Muhamad Yang Nazrin Abd. Razak, 31, mengalami masalah kesihatan selepas kemalangan.

Ketika dihubungi Kosmo!, Nor Maziani, 33, berterima kasih atas keprihatinan rider FoodPanda tersebut kerana menghulurkan bantuan selepas terbaca kisah mereka sekeluarga terputus bekalan makanan.

“Sebaik mendengar orang datang memberi salam, saya dan suami membuka pintu rumah terkejut melihat kira-kira 10 rider FoodPanda membawa barang-barang seperti beras, minyak masak, lampin kanak-kanak pakai buang, telur dan makanan kering.

“Saya tidak menyangka kisah yang tersiar dalam laman Facebook itu dibaca ramai orang,” ujarnya yang mempunyai anak berusia 10 hingga tiga tahun termasuk pasangan kembar.

Bercerita lanjut, kata Nor Maziani, dia mengusahakan khidmat mencuci kereta untuk membantu suami yang tidak boleh bekerja berat setelah terbabit dalam kemalangan tetapi disebabkan PKP perniagaan itu dihentikan.

“Alhamdulilah, selain rider FoodPanda ada juga orang perseorangan yang datang ke rumah menghulurkan sumbangan termasuk wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang membantu,” ujarnya.

Sementara itu, menerusi perkongsian individu bernama Wafiy Zainal dipercayai salah seorang rider FoodPanda Kuala Kangsar memberitahu, mereka terpanggil untuk menghulurkan bantuan atas rasa tanggungjawab.

“Disini kami semua rider FoodPanda telah kumpul duit beramai-ramai dan beli keperluan untuk Puan Maziani dan Tuan Nazrin untuk kongsi bersama. “Tidak la seberapa tapi kami faham bagaimana rasanya bila anak sendiri tiada susu dan sumber makanan.

“InsyaAllah, dengan support rakyat kuale untuk sentiasa order makanan dengan menggunakan perkhidmatan kami sedikit sebanyak menyumbang kepada gaji kami untuk buat lebih lagi kerja amal sebegini untuk masa akan datang lagi,” kata perkongsian tersebut.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI