JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri ditemui meninggal dunia bersama di ruang tamu kediaman mereka di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kematian pasangan berusia 68 dan 61 tahun itu ditemui kira-kira pukul 1 tengah hari oleh anak angkat ketika mengunjungi mereka.
“Anak angkat yang berusia 19 tahun itu mengunjungi kediaman itu selepas panggilan telefon yang dibuatnya tidak dijawab oleh mereka.
“Pengadu kemudian memaklumkan menemui kedua-dua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu kediaman itu sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kedua-dua mangsa juga didapati tinggal bersendirian di kediaman itu selain tidak mempunyai anak kandung.
Mohd. Sohaimi turut memberitahu, hasil bedah siasat yang dijalankan berjaya mendapati punca pasangan suami isteri itu meninggal dunia selain sudah meninggal dunia sejak dua hari lalu.
“Bedah siasat terhadap suami berkenaan mendapati kematiannya berpunca daripada sejarah penyakit yang dihidapi antaranya mengidap penyakit strok, sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.
“Manakala, si isteri pula yang disahkan positif Covid-19 mengidap penyakit darah tinggi dan kencing manis,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, setelah mendapati kematian itu tidak membabitkan sebarang unsur jenayah, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut. – K! ONLINE