BAKU – Pemandu Red bull Racing, Max Verstappen mengakui sangat kecewa apabila jentera yang dipacunya itu terbabas apabila tayar belakang jenteranya meletup secara tiba-tiba ketika dia berpotensi untuk meraih kejuaraan di Grand Prix (GP) Azerbaijan kelmarin.
Aksi yang berlangsung di Litar Baku itu berlangsung dalam keadaan dramatik selepas terpaksa ditangguhkan hampir setengah jam ketika saingan berbaki tiga pusingan sahaja lagi selepas Verstappen terlibat insiden kemalangan itu.
Ketika itu, pelumba Belanda berkenaan sedang selesa mendahului saingan dengan hanya berbaki lima pusingan untuk ditamatkan, sebelum tayar berkenaan meletup menyebabkan dia terbabas dan menghentam penghadang litar.
Bagaimanapun, Verstappen tidak mengalami sebarang kecederaan, namun peluangnya untuk melebarkan jurang mata dengan pencabar utama, Lewis Hamilton dari Mercedes tidak kesampaian.
“Sangat mengecewakan kerana ketika itu kami hampir untuk menamatkan saingan dengan kemenangan, namun secara tiba-tiba tayar jentera meletup.
“Sangat memalukan, kadang-kadang anda sangat bencikan sukan ini, namun ini adalah masalah yang kami perlu hadapi dan tiada jaminan. Sejujurnya pada perlumbaan kali ini, jentera saya sangat baik selepas menguasai pusingan tersebut.
“Kami terlepas peluang untuk mencipta jurang yang lebih besar dengan pasukan Mercedes kerana kita tahu mereka akan tampil lebih kuat pada perlumbaan di litar biasa,” katanya.
Bagaimanapun, pengeluar tayar F1, Pirelli menegaskan insiden yang melibatkan Lance Stroll dan juga Verstappen disebabkan serpihan asing yang menyebabkan tayar jentera kedua-dua pemandu itu meletup secara tiba-tiba.
Pada perlumbaan tersebut, rakan sepasukan Verstappen, Sergio Perez meraih kemenangan sulungnya musim ini dan kini berada di kedudukan ketiga dalam carta keseluruhan dengan pungutan 69 mata.
Meskipun gagal menamatkan saingan, Verstappen masih kekal mendahului (105 mata) dan Hamilton kedua (101 mata).
– AGENSI