PARIS – Pemain pilihan kedua, Daniil Medvedev terus mengorak langkah apabila berjaya melangkah ke pusingan suku akhir Terbuka Perancis apabila mudah menewaskan wakil Chile, Cristian Garin dengan kemenangan straight-set 6-2, 6-1, 7-5 awal pagi semalam.
Keputusan tersebut menyaksikan Medvedev semakin menghampiri gelaran No. 1 dunia sekiranya berjaya menjuarai kejohanan bertaraf Grand Slam itu pada minggu ini tetapi sebelum itu perlu mengharungi aksi suku akhir menentang Stefanos Tsitsipas.
Kata Medvedev, aksi yang dipamerkan pada dua set pertama agak mudah tetapi cabaran mula diberikan oleh Garin pada set ketiga yang mahu mengheret perlawanan ke set keempat.
“Secara jujur, mana-mana pemain bukan pilihan yang mahu menewaskan saya perlu memberikan seratus peratus di atas gelanggang dan Garin tidak berbuat demikian pada dua set pertama dan hanya mendapat momentum pada set ketiga.
“Namun, segalanya sudah terlewat kerana setiap pukulannya saya dapat balas dengan mudah dan saya gembira apabila dapat menempah tiket ke suku akhir Terbuka Perancis buat pertama kali dalam karier.
“Apa yang pasti, saya agak terkejut dengan prestasi sendiri kerana saya tewas seawal pusingan pertama di Roland Garros sejak empat tahun yang lalu selain tidak beraksi dengan baik pada kejohanan pemanas badan gelanggang tanah liat di Terbuka Hamburg dan Terbuka Madrid sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Tsitsipas yang juga pemain kelahiran Greece telah menempah tiket ke pusingan suku akhir apabila berjaya menafikan cabaran pemain pilihan ke-12, Pablo Carreno Busta dengan kemenangan straight-set 6-3, 6-2, 7-5. – AGENSI