fbpx

Tiada isu kurang bekalan makanan di PKPD Kepulauan Tumpat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JKM membawa bekalan makanan kepada penduduk PKPD di Kepulauan Tumpat menggunakan bot di Jeti Pengkalan Kok Majid, Tumpat hari ini.

TUMPAT – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengagihkan keperluan makanan kepada penduduk di empat buah kampung di Kepulauan Tumpat di sini yang kini masih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mengikut jadual yang ditetapkan.

Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Kanan, Bahagian Kebajikan Produktif JKM Kelantan, Azizi Sazle Salleh berkata, sehubungan dengan itu, tidak timbul sebarang isu yang mengaitkan bahawa penduduk di Pulau Beluru, Pulau Haji Nik Mat, Pulau Suri dan Teluk Renjuna tidak cukup bekalan makanan ketika ini.

Katanya, ini kerana, JKM telah mengagihkan sebanyak 1,398 bakul makanan yang mengandungi makanan asas dihantar kepada penduduk di kawasan itu bermula sejak 22 Mei hingga 4 Jun lalu pada fasa pertama PKPD.

“Ketika PKPD fasa kedua yang bermula 5 hingga 18 Jun, sebanyak 466 bakul makanan lagi akan diagihkan kepada penduduk di situ.

“Kesemua bakul makanan itu mengandungi beras seberat 10 kilogram, minyak masak, gula, sos cili dan kicap atau budu yang bernilai RM100,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Pengkalan Kok Majid di sini hari ini.

Menurut Azizi, selain bantuan JKM, penduduk di kepulauan itu turut menerima sumbangan badan bukan kerajaan (NGO), wakil rakyat dan individu yang prihatin dengan nasib mereka pada masa yang ditetapkan.

Tegasnya, sehubungan dengan itu, tidak timbul isu yang mengatakan bahawa penduduk di Kepulauan Tumpat terputus bekalan makanan.

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa penduduk di Kepulauan Tumpat terpaksa mencatu makanan ekoran tidak cukup bekalan.

Wanita yang dikenali Fatimah, 53, itu memberitahu dia terpaksa berbuat demikian ekoran keadaan mendesak selain dia juga perlu menanggung empat orang anak yang tinggal bersamanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI