KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan yang mengatakan Stadium Titiwangsa akan beroperasi sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bermula hari ini sepertimana tular menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju , Superintendan Ashari Abu Samah berkata, sebaliknya Stadium Titiwangsa akan beroperasi sebagai Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) bermula esok.
“Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Kita sudah dimaklumkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa stadium itu akan beroperasi sebagai CAC bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang, setiap hari Isnin hingga Sabtu.
“KKM memberitahu seramai 500 individu yang positif Covid-19 dijangka hadir setiap hari bagi menjalani saringan dan menentukan tahap pesakit sama ada perlu rujukan ke PKRC, hospital atau kuarantin kendiri di rumah.
“Bagaimanapun saya difahamkan CAC ini hanya tertakluk kepada individu yang sudah membuat janji temu dengan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Titiwangsa, tidak terbuka kepada orang luar,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Jelas beliau, seramai 15 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur akan ditempatkan di lokasi bagi memantau keadaan lalu lintas dan keselamatan orang ramai.- K! ONLINE