KUANTAN – Polis menubuhkan satu pasukan siasatan dalaman bagi menyiasat insiden kebakaran di bilik simpanan fail Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang petang semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pasukan siasatan tersebut melibatkan pegawai dan anggota dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah dan Pembangunan Logistik IPK negeri.
“Keputusan menubuhkan pasukan siasatan dalaman ini dibuat susulan laporan awal dikemukakan pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang yang mendapati insiden itu dipercayai berpunca daripada litar pintas.
“Bagi memastikan kejadian ini tidak menimbulkan sebarang spekulasi, kita ambil langkah proaktif dengan membuat (mewujudkan) pasukan (siasatan) khas,”katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang semalam, sebuah bilik penyimpanan fail di tingkat tiga bangunan IPK Pahang terbakar dan kejadian itu disedari anggota polis bertugas yang menghubungi pihak bomba.
Menurut Abd. Jalil Setakat ini, tidak ada sebarang unsur sabotaj atau khianat dikesan dalam kejadian itu dan pihak polis bekerjasama rapat dengan JBPM negeri dalam melakukan siasatan.
Dalam pada itu, Abd Jalil memaklumkan tidak ada fail penting dan bahan bukti yang terbabit dalam kejadian kebakaran berkenaan kerana kebanyakan fail di bilik itu adalah melibatkan kes yang sudah selesai.
“Saya nasihatkan supaya orang ramai tidak membuat andaian dan spekulasi negatif susulan kejadian berkenaan, siasatan juga masih dijalankan pihak forensik bomba dan kita akan membantu mereka.
“Kalau ada perkembangan baharu berkaitan (siasatan) kejadian ini, kita akan maklumkan kepada media,”ujarnya. – K! ONLINE