KOTA BHARU – Lima lelaki berdepan hukuman mati mandatori selepas mereka ditahan polis apabila dipercayai memiliki 2,600 biji pil kuda bernilai RM26,000 di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, kesemua suspek itu ditahan dalam dua serbuan yang dijalankan oleh pihaknya di beberapa kawasan di daerah ini.
Katanya, dalam operasi itu, polis menyita tiga buah motosikal jenis Yamaha 125ZR, Yamaha 135LC dan Honda EX5 serta sebuah kereta jenis Proton Persona.
“Selain itu, polis turut merampas seutas rantai leher berloket jongkong emas kecil yang dipercayai milik salah seorang suspek.
“Siasatan mendapati, tiga daripada lima suspek terbabit mempunyai rekod lampau berkait kes dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, “ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.