fbpx

MB Kedah sedia disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan ke atas gambar tular (kanan) membabitkan dirinya.

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan berhubung keberadaan beliau di sebuah pusat jualan kenderaan di Auto City Juru, Bukit Mertajam di Pulau Pinang kelmarin.

Muhammad Sanusi Md. Nor ketika dihubungi Kosmo! bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

“Tiada komen setakat ini, tunggulah hingga siasatan polis selesai.

“Saya tidak tahu apa tujuan orang yang menularkan perkara ini. Saya lihat kenderaan dari luar ruang pameran sahaja (semasa kejadian),” katanya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisio­ner Shafee Abd. Samad semalam mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Muhammad Sanusi memandu uji sebuah trak pikap di Auto City Juru.

“Pihak kami akan memanggil semua pihak yang terlibat termasuk jurujual, Menteri Besar Kedah dan mereka yang berada di lokasi berkenaan semasa kejadian itu ditularkan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Terdahulu, beberapa keping gambar termasuk memaparkan Muhammad Sanusi berada di sebuah pusat pameran dan memandu uji sebuah trak pikap jenis Ford Ranger Raptor di Auto City Juru dimuat naik seorang pengguna Facebook sehingga tular di media sosial sejak semalam.

Kejadian itu didakwa berlaku pada pukul 6.30 petang kelmarin.

Pengguna Facebook itu mendakwa Muhammad Sanusi datang ke premis tersebut bersama dua lelaki dengan menaiki kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard milik Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan perkara itu sebagai fitnah terhadap Muhammad Sanusi.

Beliau berkata, ketika keja­dian, Muhammad Sanusi dalam perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan pen­ting bersama pemandu dan seorang anggota polis pengiring.

“Beliau singgah di Juru untuk membeli makanan dan kebetulan kedai menjual makanan terletak berhampiran pusat pameran kende­raan.

“Pusat pameran itu tutup, namun terdapat seorang jurujual sedang menyusun kenderaan di luar,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Muhammad Sanusi dikatakan menjenguk ke ruang pa­meran dan bukan mahu membeli trak pikap seperti didakwa.

Jelas beliau, selepas selesai membeli makanan, Muhammad Sanusi kemudian menyambung perjalanan ke ibu negara dan tiada sesi pandu uji trak pikap di lokasi tersebut.

Dalam pada itu, laman Facebook rasmi Muhammad Sanusi dibanjiri komen netizen sejak malam kelmarin yang mahu beliau memberikan penjelasan berhubung kejadian tular tersebut.

Ini berikutan tindakan Muhammad Sanusi itu didakwa me­langgar prosedur operasi stan­dard Perintah Kawalan Pergerakan Penuh yang dilaksanakan di seluruh negara ketika ini yang tidak membenarkan rentas negeri dan larangan o­perasi perniagaan sektor automatif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI