JAKARTA – Jabatan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) mengeluarkan amaran ancaman tsunami dengan ombak setinggi 29 meter yang berpotensi berlaku di Jawa Timur bila-bila masa dalam tahun ini, lapor laman berita Suara.com kelmarin.
Susulan amaran tersebut, pemerintah wilayah Jember, Hendy Siswanto mengingatkan para penduduk terhadap ancaman bencana itu selepas mengambil kira senario terburuk bencana.
Beliau turut mengarahkan semua pihak berkaitan untuk segera melaksanakan persediaan berdepan bencana alam.
“Kami telah bersiap sedia terhadap kemungkinan berlakunya gempa bumi dan tsunami.
“Selain itu, Badan Tindak Balas Bencana Daerah (BPBD) dan ketua kampung juga turut bersiap siaga di sepanjang pantai selatan,” ujarnya.
Pada hujung bulan lepas, BMKG telah mengeluarkan amaran pertama terhadap potensi berlakunya tsunami dan gempa bumi di Jawa Timur dengan ketinggian ombak yang boleh mencecah antara 26 hingga 29 meter.
Lapan wilayah dilaporkan akan terjejas teruk termasuk Jember, Trenggalek dan Blitar. – AGENSI