KINGSTON – Pelari pecut Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce menjadi atlet wanita kedua terpantas dalam sejarah selepas melakukan catatan masa 10.63 saat (s) menerusi acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olympic Destiny kelmarin.
Dia yang merupakan pemenang dua kali pingat emas Olimpik dilihat menampilkan larian memukau untuk memenangi aksi pemanas badan bagi pemilihan atlet ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo itu.
Bagaimanapun, catatan itu masih belum mampu untuk meleburkan rekod dunia 10.49s yang dicatat pelari legenda Amerika Syarikat, Florence Griffith-Joyner (Flo-Jo) pada 1988.
“Secara jujur, saya tidak sangka boleh berlari sepantas itu. Saya sangat bersyukur kerana dapat menamatkan larian itu tanpa sebarang masalah selain melakukan catatan masa yang baik.
“Sukar untuk gambarkan perasaan saya apabila berjaya lakukan catatan masa 10.63s kerana ia adalah impian saya. Saya harap boleh berlari sekali lagi sebelum ke pemilihan skuad kebangsaan,” kata atlet berusia 34 tahun itu.
Keputusan yang dicatat Fraser-Pryce itu sekali gus bakal menghangatkan saingan acara riben biru di Tokyo nanti kerana akan turut disertai juara edisi 2016, Elaine Thompson serta pemenang pingat perak Kejohanan Dunia, Dina Asher-Smith dari Great Britain.
“Jika saya boleh berlari dengan catatan masa 10.63s sekarang, saya tidak sabar untuk lihat keputusan seterusnya. Saya bekerja keras untuk lakukan catatan di bawah 10.70s dan akhirnya, saya berjaya lakukan,” ujarnya. – AGENSI