SEBERANG PERAI – Sebuah feri usang yang tersadai sejak November 2019 dan dilaporkan hampir tenggelam di dalam Sungai Perai di Limbungan Bagan Dalam, Butterworth di sini diapungkan semula hari ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, air yang memasuki feri ikonik itu akan dipam keluar ketika tempoh air surut sekitar pukul 4 petang hingga 7 malam hari ini.
“Lubang kebocoran akan diperbaiki bagi memastikan feri itu kembali terapung.
“Tiada cara lain untuk menaikkan feri ke darat dalam masa singkat selain mengepam keluar air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, beberapa keping gambar memaparkan Feri Pulau Pinang yang dalam keadaan separuh tenggelam tular di media sosial sejak semalam sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak terutamanya penduduk.
Ini kerana, perkhidmatan itu mempunyai nostalgia tersendiri kepada warga Pulau Mutiara dan menjadi salah satu identiti pelancongan di negeri ini sejak sekian lama.
Sementara itu, Teik Cheng berkata, feri berkenaan ketika ini sedang melalui proses penilaian tender bagi pajakan sebagai muzium yang akan ditempatkan di Tanjung City Marina, George Town dekat sini.
Difahamkan, ketika ini hanya sebuah feri lama iaitu Feri Pulau Angsa masih beroperasi bagi mengangkut motosikal dan basikal, manakala tiga buah feri bot laju digunakan bagi membawa pejalan kaki dalam tempoh interim sebelum diganti dengan perkhidmatan baharu. – K! ONLINE