KUALA LUMPUR – Dua wanita warganegara Thailand ditahan bersama tiga pucuk pistol tiruan dan sejumlah dadah dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asistan Komisioner Zairulnizam Mohd. Zainuddin @ Hilmi berkata, serbuan dilakukan pada pukul 6.45 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields susulan risikan yang dilakukan.
“Pemeriksaan yang dilakukan di kondominium tersebut telah menemui dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 0.1 gram, tiga pucuk pistol tiruan bersama tiga kelopak dan satu kotak berisi 50 butir peluru ‘blank’ (kapur).
“Siasatan awal mendapati rumah tersebut dimiliki oleh teman lelaki salah seorang suspek berusia 23 tahun yang memaklumkan bahawa pistol itu merupakan milik teman lelakinya dikenali sebagai ‘Delvin’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zairulnizam, pihak polis sedang mengesan ‘Delvin’ bagi membantu siasatan dan ujian air kencing yang dilakukan ke atas dua suspek wanita itu mendapati suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek kedua berusia 36 tahun didapati negatif.
“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka kini ditahan reman empat hari sehingga 9 Ogos ini di Lokap Berpusat Jinjang bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di Bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960,” tegas beliau. – K! ONLINE