OUAGADOUGOU, Burkina Faso – Kumpulan militan membunuh sekurang-kurangya 114 orang awam di utara Burkina Faso dalam serangan paling berdarah sejak keganasan tercetus di negara Afrika Barat itu pada 2015, kata beberapa pegawai malam tadi.
Presiden Roch Marc Christian Kabore mengutuk serangan berhampiran sempadan dengan Mali dan Niger itu di mana kumpulan Al-Qaeda dan Daesh menyasarkan orang awam serta anggota tentera.
“Kita perlu bersatu padu menentang kumpulan ini,” kata Kabore yang mengutuk pembunuhan beramai-ramai di Solhan itu sebagai kejam dan keji.
Serangan paling buruk berlaku malam kelmarin dan berlarutan hingga pagi semalam apabila sekumpulan individu bersenjata menceroboh Solhan, kata sumber keselamatan.
“Angka kematian adalah kira-kira 114 orang terbunuh termasuk lelaki dan wanita berlainan usia,” kata sumber itu.
Penyerang-penyerang melakukan serbuan sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) terhadap kedudukan anggota sukarelawan keselamatan dikenali sebagai VDP yang membantu pihak tentera sebelum menyerang kediaman dan membunuh penduduk Solhan, kata sumber tempatan.
VDP ditubuhkan pada Disember 2019 untuk membantu tentera Burkina Faso yang kekurangan persenjataan untuk memerangi kumpulan militan. Lebih 200 sukarelawan VDP terbunuh setakat ini. – AFP