fbpx

Hukum golongan antivaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REAKSI seorang penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur semalam. - AMIR KHALID

PETALING JAYA – Dalam tempoh darurat, kerajaan boleh menggubal apa sahaja ordinan yang bersesuaian termasuk mewujudkan undang-undang khas bagi menyekat aktiviti golongan antivaksin yang menimbulkan kerisauan dan ketakutan orang ramai untuk mengambil vaksin Covid-19.

Penganalisis perundangan dan politik, Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek berkata, pewartaan undang-undang semasa darurat dipanggil ordinan, namun dalam keadaan biasa dipanggil akta pada peringkat kerajaan Persekutuan dan enakmen bagi kerajaan negeri.

Katanya, jika ordinan itu diluluskan, sebarang aktiviti yang mendorong masyarakat supaya tidak mengambil vaksin boleh dianggap sebagai jenayah dan boleh diambil tindakan undang-undang.

“Jika sabit kesalahan, mereka yang ditangkap kerana ‘menghasut’ ini boleh dijatuhkan hukuman penjara dan denda.

“Ia boleh dicadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Jika ba­ginda bersetuju dan setelah mendapat perkenan diraja, maka jadilah ia undang-undang yang boleh dikuatkuasakan serta-merta.

“Prosesnya lebih pantas berbanding dengan akta yang perlu dibahas di Parlimen dan perlu melalui peringkat bacaan pertama, kedua dan ketiga sebelum mendapat kelulusan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

ABDUL HALIM

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara menjelaskan, ordinan tersebut akan terbubar apabila tempoh darurat tamat.

Justeru, kerajaan turut boleh menggunakan undang-undang sedia ada untuk membanteras golongan antivaksin.

Sebagai contoh jelasnya, menerusi Akta 342 melibatkan Akta Pencegahan Pengawalan Penya­kit Berjangkit, selain menggunakan Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Abdul Halim turut menca­dangkan pemantauan dan tindakan tegas diambil dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Siber Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengesan golo­ngan tersebut lebih awal.

Menurutnya, ini kerana, kempen antivaksin cenderung melibatkan individu berpengaruh dalam masyarakat misalnya golongan berpendidikan tinggi, profesional dan penceramah agama yang buat masa ini dilihat bebas menyebarkan pengaruh dan kefahaman salah mengenai vaksin melalui pelbagai platform di media sosial.

“Kerajaan juga boleh mengambil tindakan mengikut Perkara 149 dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu perundangan yang menentang perbuatan subversif dan tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam.

“Antara kegiatan subservif ialah individu atau sekumpulan orang menjalankan aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

“Ini tidak semestinya dilakukan dengan mengangkat senjata, malah perbuatan menjejaskan keselamatan kesihatan juga boleh dianggap tindakan subversif,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI